KANGAR, 16 Mac- Jelajah Ramadan RTM 2024 kini tiba di Perlis.
Seperti tahun sebelumnya, pelbagai aktiviti diadakan khususnya bagi meraikan 32 anak yatim dan asnaf terpilih.
Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran Strategik, Nasaruddin Abdul Mutalib berkata penglibatan pelbagai pihak dalam menjayakan Jelajah Ramadan RTM dengan menyalurkan pelbagai sumbangan, membuktikan keprihatinan mereka untuk sama-sama berkongsi rezeki.
Penglibatan itu juga turut memberi peluang kepada lebih ramai penerima dan berharap bagi edisi ke-13 Jelajah Ramadan RTM nanti, bukan sahaja anak yatim dan asnaf sahaja diraikan tetapi juga golongan lain yang layak turut menerima manfaatnya.
"Saya amat terharu sekali apabila dapat melihat kegembiraan di wajah mereka, di mana kita telah memberikan satu aktiviti yang mungkin kecil maksudnya kepada kita tetapi besar maknanya kepada mereka."
"Jadi, saya harap program-program umpama ini boleh kita teruskan di destinasi-destinasi yang lain," kata Nasaruddin kepada pemberita di Kangar, hari ini.
Kesemua anak yatim dan asnaf terlibat dibawa membeli pakaian Hari Raya Aidilfitri di Pasaraya The Store Kangar dengan membonceng 50 buah motosikal berkuasa tinggi daripada Gabungan Bikers Utara.
Kakitangan RTM, pegawai dan anggota JPJ dan petugas Yayasan Khayr Ummah Antarabangsa (IKAF) menemani setiap anak yatim dan asnaf memilih keperluan Hari Raya.
"Gabungan lebih daripada 10 penaja tempatan dan kerjasama strategik kami dengan JPJ negeri Perlis juga memastikan aktiviti konvoi dan trafik, berjalan dengan lancar. Istimewanya penganjuran tahun ini di Perlis adalah kita gunakan sepenuhnya rakan-rakan strategik di Perlis," kata Pengarah Penyiaran Perlis, Fathil Hidayat Ghazali.
"Disamping kita menunaikan ibadah kepada Allah SWT, jangan kita lupa kepada anak-anak kita yang memerlukan. Mereka yang memerlukan adalah dikategorikan sebagai asnaf dan anak-anak yatim ini yang perlu kita raikan. Moga-moga ia membantu memperkasakan ibadah kita serta hubungan kita dengan Allah SWT," kata Pengerusi IKAF, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya.
"Perancangannya berjalan lancar. Kelainannya pada hari ini, tidak banyak beza dengan tahun lepas, cuma kita awalkan sikit suasana raya itu," kata Pengarah JPJ Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah.
Selesai membeli keperluan Hari Raya, kesemua anak yatim dan asnaf kemudian diraikan di Kompleks Penyiaran Tuanku Syed Putra dengan sumbangan duit raya, sebelum kesemua yang hadir berbuka puasa beramai-ramai.