DUNGUN, 16 Mac- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima 638,676 permohonan penggantian kad pengenalan di seluruh negara sejak tahun 2022.
Permohonan itu disebabkan kehilangan kad pengenalan akibat kecuaian, jenayah dan bencana.
Ketua pengarahnya, Badrul Hisham Alias berkata daripada jumlah itu, 594,836 permohonan penggantian kad pengenalan adalah disebabkan faktor kecuaian pemegang kad.
30, 936 permohonan kad pengenalan lagi disebabkan jenayah seperti kecurian manakala bakinya iaitu 12,894 adalah disebabkan bencana seperti kebakaran, banjir dan kemalangan.
Bagi tahun ini, bermula Januari hingga Mac, pihaknya menerima 59,037 permohonan penggantian kad pengenalan.
Daripada jumlah itu, 55,504 akibat kecuaian.
Selangor mencatatkan jumlah permohonan baharu tertinggi akibat kecuaian iaitu 8,482 diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 7,427 permohonan dan Johor 7,247 permohonan.
"Rakyat kita tidak serius menjaga kad pengenalan. Kad pengenalan ini adalah satu kad yang penting dan perlu dihargai. Namun, ada daripada kita bersikap sambil lewa.
"Kita tiada hasrat sebenarnya nak mengenakan dendan atau meningkatkan kadar denda akibat kehilangan itu. Kita tahu ia menyusahkan rakyat atau mendera rakyat, namun kita nak memastikan kad pengenalan ini dijaga sebaik mungkin dan dihargai seperti mana sesuatu yang berharga," kata Badrul kepada pemberita pada Program Menyemai Kasih Rakyat Mekar JPN di Kampung Pasir Raja, Dungun.
Pada majlis itu, Badrul Hisham menyampaikan enam kad pengenalan baharu kepada penduduk Kampung Pasir Raja dan Kampung Shukor yang terjejas banjir Januari lalu.
Dalam pada itu, Badrul Hisham berkata pihaknya akan meneruskan program Mekar Diaspora di Amerika Syarikat pada Jun depan bagi memberi perkhidmatan dan nasihat berkaitan pembaharuan kad pengenalan, permohonan kewarganegaraan dan perkara berkaitan hal ehwal pendaftaran negara khusus untuk rakyat Malaysia di luar negara.
Program Mekar Diaspora telah dilaksanakan sebelum ini di Jeddah, Arab Saudi pada awal Februari lalu dan sambutannya menggalakkan yang mana kita dapat membantu urusan rakyat kita di sana.