
KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Jelajah Malaysia Digital (JMD) 2026 bukti komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa literasi digital rakyat ke seluruh negara selaras aspirasi Malaysia Digital 2030 (MD2030) serta matlamat menjadikan Malaysia sebagai Negara AI (kecerdasan buatan) menjelang 2030.
- Kementerian bersama agensi seperti MDEC akan bergerak ke setiap negeri memberi tunjuk ajar dan bimbingan penggunaan teknologi secara bijak dan selamat.
- Pembangunan infrastruktur digital giat dilaksana supaya setiap lapisan masyarakat boleh menikmati manfaat teknologi secara menyeluruh.
- Kerajaan perkenalkan aplikasi MyGov sebagai pusat sehenti perkhidmatan, kini mengintegrasi teknologi kecerdasan buatan berasaskan agen.
- Menteri mengingatkan rakyat sentiasa berhati-hati dan berhemah dalam dunia digital untuk mengelak menjadi mangsa penipuan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata menerusi JMD, masyarakat dapat memaksimumkan potensi teknologi baharu.
Kementerian berkenaan bersama agensi seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan bergerak ke setiap negeri untuk memberi tunjuk ajar, memulakan perbincangan dan membimbing rakyat berhubung cara menggunakan teknologi secara bijaksana dan selamat.
“Pembangunan infrastruktur digital negara sedang giat dilaksana bagi membolehkan setiap lapisan masyarakat menikmati manfaat secara menyeluruh,”katanya ketika merasmikan program berkenaan di Dewan Komuniti Damansara Damai, di sini, hari ini.
Menurut Gobind lagi, penguasaan teknologi terbukti telah merevolusikan kehidupan seharian masyarakat, khususnya dalam merancakkan sektor perniagaan melalui ekosistem e-dagang dan pemasaran digital yang semakin meluas.
“Kita dapat terus menghantar produk kepada pelanggan tanpa mereka perlu hadir ke kedai kita, malah urusan pembayaran menggunakan platform digital juga memudahkan segala transaksi,” katanya.
Tambah beliau, sejajar usaha pemodenan perkhidmatan awam, kerajaan turut memperkenalkan aplikasi MyGov, platform pusat sehenti yang menghimpunkan pelbagai perkhidmatan kerajaan persekutuan, negeri dan tempatan.
“Lebih membanggakan, aplikasi tersebut kini telah mula mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan berasaskan agen (Agentic AI), bagi menaik taraf dan menyelaraskan penyampaian perkhidmatan mengikut peredaran teknologi semasa,” jelas beliau lagi.
Dalam pada itu, Gobind turut mengingatkan rakyat agar sentiasa berhati-hati dan berhemah dalam dunia digital bagi mengelak diri menjadi mangsa penipuan (scam).
“Jangan sesekali kita terpedaya dengan menggunakan maklumat yang salah, terutamanya maklumat yang memang dirancang supaya kita menjadi mangsa penipuan sedemikian,” tambah beliau.