fb fb fb fb fb

Jejak Serumpun ISWAMI: 15 wartawan Malaysia berlepas ke Indonesia hari ini

Barisan wartawan daripada pelbagai agensi yang menyertai Program Jejak Serumpun Ikatan Setiakawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Malaysia di Jakarta

KUALA LUMPUR, 12 Februari - Delegasi media Malaysia seramai 15 orang wartawan berlepas petang Isnin dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk Program Jejak Serumpun Ikatan Setiakawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Malaysia di Jakarta selama 10 hari.

Lawatan ilmu yang bermula 12 Februari hingga 21 Februari itu untuk memberi pendedahan kepada wartawan Malaysia mengenai pelbagai dimensi perspektif di sebalik kerancakan Pilihan Raya Presiden (PILPRES) Indonesia 2024, pada Rabu ini (14 Feb) dan Hari Pers Nasional (HPN) Indonesia yang berlangsung pada 20 Feb.

Presiden ISWAMI Malaysia, Ashwad Ismail, berkata pengamal media yang terdiri daripada pelbagai agensi berita akan diberi pendedahan kepada proses demokrasi antara yang terbesar di dunia dan membina keakraban bersama media Indonesia.

Tambah Ashwad, para wartawan yang terpilih juga didedahkan dengan kerancakan sektor teknologi hijau, kelestarian dan ekonomi digital di negara jiran itu.

“Kembara ilmu yang singkat tapi padat ini bukan sahaja berkisar tentang pendedahan kepada pesta demokrasi, tetapi juga pertemuan dan dialog dengan mereka yang menjadi cerminan kepada kehebatan Indonesia contohnya, pemain industri ‘fintech’ ekonomi digital, sektor pembangunan lestari serta keupayaan mereka merakyatkan teknologi hijau.

“Dalam landskap geopolitik dunia yang kian mencabar ini, para wartawan Malaysia juga harus didedahkan juga dengan usaha-usaha diplomasi ‘Track 2’ oleh pelbagai institut dan badan bukan kerajaan di Indonesia yang mengangkat agenda kebersamaan antara rakyat di pentas ASEAN serta internasionalisme yang positif,” kata Ashwad.

Menerusi Program Jejak Serumpun yang ditaja oleh Berjaya Corporation Berhad, Green Growth Asia Foundation dan vFive Group ini juga, pengamal media akan mengikuti beberapa siri lawatan dan pertemuan bersama ISWAMI Indonesia.

ISWAMI Indoyang diketuai presidennya Bapak Asro Kamal Rokan, akan mengadakan pertemuan bersama pimpinan media Indonesia serta agensi-agensi penting dalam mengukuhkan lagi kebersamaan dua negara serumpun ini.

Turut hadir ketua-ketua pengarang dari Malaysia turut menyertai delegasi ISWAMI ke program HPN 2024, acara tahunan yang mengumpulkan lebih 6,000 wartawan dari seluruh Indonesia.

Secara tradisinya, ISWAMI Malaysia dijemput menghadiri HPN yang diadakan pada 9 Februari setiap tahun di kota-kota yang berbeza.

Bagaimanapun HPN 2024 ditunda pada 20 Februari susulan berlangsungnya PILPRES 2024. ISWAMI adalah forum wartawan Malaysia-Indonesia yang ditubuhkan pada 2003 sebagai jambatan kepada hubungan media Malaysia dan Indonesia berperanan membina kemakmuran bersama kedua-dua negara rumpun Nusantara.

TETITIA YUSOFF