fb fb fb fb fb

Kolej Komuniti Padang Terap tawar bantuan RM5,400 kepada pelajarnya

Pengarah Kolej Komuniti Padang Terap, Ir. Ts. Mohd Aishamuddin Yaakob

PADANG TERAP, 12 Februari - Kolej Komuniti Padang Terap menawarkan bantuan kewangan berjumlah RM5,400 kepada pelajar berkelayakan yang melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) itu bagi pengambilan sesi Januari.

Permohonan bagi sesi pengambilan Terbuka Januari 2024 dibuka bermula 29 Januari hingga 28 Februari ini.

Pengarah Kolej Komuniti Padang Terap, Ir. Ts. Mohd Aishamuddin Yaakob berkata dua bidang pengajian utama ditawarkan iaitu Sijil Teknologi Maklumat dan Teknologi Elektrik.

Beliau berkata, selain bantuan kewangan, yuran pengajian juga sangat minimum iaitu RM200 bagi setiap semester.

“Antara kelebihan adalah bengkel elektrik dan makmal komputer yang kondusif, pengiktirafan MQA dan MBOT, tenaga pengajar yang berpengalaman, dan laluan kerjaya dan sambung pengajian ke peringkat lebih tinggi," katanya ketika dihubungi RTM di sini.

Katanya, tawaran tersebut terbuka kepada seluruh masyarakat khususnya pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Hanya 60 tempat disediakan untuk pengambilan kali ini. Mereka hanya perlu memenuhi beberapa syarat, antaranya lulus matapelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah dalam peperiksaan SPM," katanya.

Kolej Komuniti Padang Terap, antara kolej komuniti yang mempunyai bangunan sendiri dan ia terletak di Pekan Kuala Nerang.

TETITIA YUSOFF