KANGAR, 5 Januari - Sebanyak 980 panggilan kecemasan diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis sepanjang tahun lalu, dengan 508 daripadanya melibatkan kes kebakaran.
Pengarah JBPM negeri, Penguasa Kanan Bomba 1 Ruhisha Haris berkata, jumlah itu berkurangan berbanding 1,287 panggilan kecemasan dengan 911 kes kebakaran pada tahun 2020.
"Kes melibatkan kebakaran bagi tahun 2021 menunjukkan penurunan sebanyak 35 peratus", katanya ketika ditemui semasa meninjau kesiapsiagaan pegawai, anggota dan jentera ketika musim timur atau kering, di sini.
Namun dalam menghadapi keadaan cuaca yang tidak menentu di Perlis ketika ini, seramai 215 pegawai dan anggota dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kes kecemasan terutamanya kebakaran.
"Kita menasihati penduduk agar tidak melakukan pembakaran terbuka yang akan meningkatkan statistik kebakaran di negeri Perlis.
Jadi atas kesedaran yang ditunjukkan oleh masyarakat melalui siaran media yang kita sampaikan telah membuka mata dan telinga penduduk agar tiada perkara yang tidak diingini berlaku khususnya di negeri Perlis", katanya.
Selain pegawai dan anggota, 9 buah jentera bomba turut diletakkan pada siap siaga tinggi selain pelbagai kenderaan utiliti dan Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) di kesemua Balai Bomba dan Penyelamat seluruh Perlis.
Selain tumpuan kepada operasi kebakaran, tugas-tugas lain turut diberi perhatian antaranya operasi mencari dan menyelamat, kemalangan dan tugas-tugas khas.