fb fb fb fb fb

13 PATI ditahan, Imigresen gempur pusat beli-belah menggaji pendatang asing

 


KUALA LUMPUR, 5 Januari- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hari ini menahan 13 warga asing dalam satu operasi di sebuah kompleks beli-belah di ibu negara.

Menurut kenyataan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, pihaknya memeriksa 60 orang warga asing pelbagai warganegara berumur lingkungan 24 hingga 42 tahun dalam operasi berkenaan.

“Operasi dijalankan di kawasan pusat perniagaan lot premis lima tingkat. Premis tersebut kebanyakannya menggaji warga asing sebagai pemandu parkir valet, pengawal keselamatan, tukang cuci dan jurujual dan hasil pemantauan, kesemua warga asing ini digajikan oleh majikan warga tempatan,” katanya selepas operasi itu yang disertai 38 pegawai Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan Ibu Pejabat Imigresen, di sini.

Jelas Khairul, semasa serbuan dilakukan, warga asing itu cuba menukar pakaian seragam yang dipakai dan berlakon sebagai pengunjung bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

Tambahnya semasa pemeriksaan, terdapat juga pekerja warga asing yang digajikan sudah mendaftar untuk Rekalibrasi Pulang dan dalam proses penghantaran pulang mengikut tarikh tiket yang disediakan majikan.

Antara kesalahan dikesan termasuk tiada dokumen pengenalan diri, tinggal melebihi had masa, melanggar syarat pas kerja dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

Khairul berkata, siasatan dilakukan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Media Baharu