fb fb fb fb fb

JBPM lancar MTL Red Team

(Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid pada Majlis Pelancaran Pasukan Gerak Cepat (MTL RED TEAM) di Putrajaya)

PUTRAJAYA, 28 Oktober- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melancarkan penubuhan Pasukan Gerak Khas (MTL Red Team) bagi memantapkan lagi persiapan dan persediaan perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan dalam menghadapi Monsun Timur Laut pada tahun ini.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, penubuhan MTL Red Team merupakan penambahbaikan kepada Regional Forward Base (RFB) yang sebelum ini ditempatkan di tiga lokasi.

Ia adalah Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Timur, Terengganu untuk respons di kawasan Wilayah Timur; Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perda, Pulau Pinang untuk respons di kawasan Wilayah Utara; dan BBP Ayer Hitam, Johor untuk respons di kawasan Wilayah Selatan.

"Sehubungan itu, satu Garis Panduan Pasukan Red Team Monsun Timur Laut (MTL Red Team) telah diedarkan bagi melancarkan penubuhan pasukan ini."

"Garis Panduan ini menetapkan pengurusan MTL Red Team mekanisma pengaktifan, komposisi, arahan kerja aturgerak sumber manusia dan logistik Jabatan," katanya.

Penubuhan MTL Red Team juga mendapat sokongan daripada Kerajaan Negeri Selangor di mana MTL Red Team JBPM Negeri Selangor telah dibenarkan untuk ditempatkan di dua lokasi iaitu di Pejabat Penghulu Batu 14 dan Dewan Orang Ramai Sungai Lui bagi tujuan penempatan sumber manusia, aset dan logistik.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pasukan Gerak Cepat (MTL RED TEAM) di Putrajaya.

Tambah beliau, seramai 253 anggota akan bersedia setiap hari di lokasi yang ditetapkan termasuklah 58 unit bot, 41 unit kenderaan utiliti dan 33 buah lori.

Pada majlis sama, JBPM turut menerima sumbangan sebanyak lima buah bot penyelamat daripada Pertubuhan Kebajikan Al Kauthar Eduqids (AKE CARE) serta peralatan penyelamatan daripada Pertubuhan Amal Uncle Kentang.


(Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid pada sidang media selepas melancarkan

Pasukan Gerak Cepat (MTL RED TEAM) di Putrajaya)

Media Baharu