fb fb fb fb fb

Selaman JBPM rungkai 'backlog' di dalam saluran kumbahan

Kren tiba di lokasi kejadian dan menurunkan pam berkuasa tinggi 10,000 dan 20,000 liter untuk mengepam keluar air dari saluran kumbahan

KUALA LUMPUR, 30 Ogos- Usaha pasukan penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan selaman di dalam saluran kumbahan berhampiran lokasi tanah jerlus di Jalan Maslid India sekali lagi menemui jalan buntu.

Dua penyelam skuba dari Akademi JBPM Wilayah Utara mula turun ke lubang saluran itu pada pukul 4.00 pagi untuk ke kawasan yang dipercayai terdapat 'backlog' iaitu kira-kira 44 meter dari lokasi kejadian.

Selaman dilakukan selepas pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menutup sebahagian saluran dan melencongkan aliran masuk dalam usaha mengurangkan paras air daripada 1.5 meter hingga ke 0.8 meter di dalam saluran kumbahan seperti kaedah yang digunakan semalam.

Pada pukul 11.20 malam tadi, sebuah kren dilihat tiba di lokasi kejadian dan menurunkan pam berkuasa tinggi 10,000 dan 20,000 liter untuk mengepam keluar air dari saluran kumbahan tersebut.

Bagaimanapun, selepas hampir setengah jam melakukan selaman, usaha itu belum menemukan sebarang petunjuk.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Nor Hisham Mohammad serta Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner (ACP) Sulizmie Affendy Sulaiman turut berada di lokasi kejadian bagi meninjau operasi SAR.

Operasi SAR ditangguhkan seketika pada pukul 5.00 pagi tadi dan akan disambung nanti.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI