GEORGE TOWN, 30 Ogos- Kerjasama daripada pihak Tenaga Nasional Berhad Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) dan Perdananan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi membangunkan sumber tenaga hijau di Stesen Janakuasa Gelugor (SJG) bakal memberikan potensi besar buat Pulau Pinang dalam menjana sumber tenaga hijau.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek itu dilihat bakal menjamin kestabilan bagi bekalan tenaga khususnya di bahagian pulau di Pulau Pinang memandangkan SJG telah beroperasi selama lebih 20 tahun di samping menambah pendapatan negeri dan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
"Menerokai tenaga berasaskan tenaga hijau di Pulau Pinang ini, khususnya di Gelugor Power Plant merupakan potensi untuk bekalan tenaga hijau di negeri ini. Saya sendiri sudah melihat kawasan tersebut dan ianya amat baik sekali.
"...dan saya sukacita melihat kerjasama jalinan antara negeri dan TNB ini. Diharapkan ianya dapat mengerakkan dan memastikan keterjaminan dan kestabilan bekalan tenaga khususnya untuk Pulau Pinang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara TNB Genco dan PDC di sini.
Majlis itu turut dihadiri Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari.
MoU yang ditandatangani oleh Pengarah Urusan TNB Genco, Ir Muhamad Nazri Pazil dan Ketua Pegawai Eksekutif PDC Datuk Aziz Bakar itu sebagai permulaan proses ke arah kajian kebolehlaksanaan bagi projek memperkasakan semula serta penaiktarafan kapasiti Stesen Janakuasa Gelugor yang akan tamat Perjanjian Pembelian Kuasanya (PPA) pada akhir bulan ini.