fb fb fb fb fb

JBPM Johor siap siaga sebarang situasi luar jangka MTL

ISKANDAR PUTERI, 4 Oktober- 1,300 anggota di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Johor bersedia bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) yang menyebabkan banjir terutama di lokasi kerap berlaku bencana tersebut.

Bagaimanapun, JBPM Johor masih belum mengeluarkan arahan pembekuan cuti kepada anggota.

Pemangku Pengarah JBPM Johor, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Rizal Buang memaklumkan, ketika ini jadual tugas setiap anggota berjalan seperti biasa namun meningkatkan kekerapan rondaan di lokasi berisiko banjir.

JBPM juga sentiasa memantau maklumat yang dikongsikan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Met Malaysia berkaitan cuaca.

"Sekarang ni kita berwaspada dengan cuaca. Pihak NADMA juga sentiasa mengemas kini di platform media sosial berkenaan ramalan cuaca semasa dan akan datang. Maka, kami dari pihak bomba akan sentiasa memantau kemas kini tersebut serta kita bersedia dengan segala tindakan dan apa jua situasi.

Misalnya, jika ada kawasan yang hujan melebihi 2 jam, kita akan kerahkan anggota untuk melakukan rondaan," kata Mohd Rizal kepada RTM semasa majlis penyerahan sumbangan peralatan kebombaan daripada Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri.


(Peralatan seperti mesin pemotong kayu dan hos antara yang disumbangkan PTP kepada pihak bomba)

JBPM Johor juga bersedia mendapatkan bantuan daripada pasukan bomba sukarela dan agensi serta JBPM negeri lain, sekiranya banjir buruk melanda negeri ini.

PTP menyumbangkan peralatan seperti mesin pemotong kayu dan hos.

Media Baharu