fb fb fb fb fb

Banjir: Pengusaha ikan sangkar diminta bantu cukupkan bekalan

(FOTO HIASAN)

KUALA LANGAT, 4 Oktober – Pengusaha ternakan ikan sangkar di seluruh negara diminta membekalkan ikan secukupnya bagi menampung keperluan semasa pada musim banjir.

Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Mohd Suffian Sulaiman berkata ketika ini stok bekalan ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) cukup untuk menampung keperluan semasa jika berlaku kekurangan sumber protein tersebut.

(Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Mohd.Suffian Sulaiman)

“Bagaimanapun dalam situasi banjir, kita meminta pengusaha ternakan ikan dalam sangkar untuk membekalkan ikan mereka sekiranya stok yang ada tidak mampu menampung keperluan ketika musim banjir.

“Justeru, kita akan memastikan pengusaha ternakan ikan untuk menuai hasil mereka sebelum bencana banjir berlaku untuk memastikan bekalan cukup dan mereka tidak kerugian akibat banjir,” katanya selepas Program Pembersihan Pantai Bagi Kempen Bebas Plastik di Pantai Kelanang, di sini.

Mohd.Suffian berkata, pihaknya juga memastikan keselamatan dan kebajikan nelayan terjaga sepanjang musim tengkujuh tahun ini.

Tambahnya, pihaknya melalui Pejabat Perikanan Daerah akan melaporkan keadaan cuaca harian dan nelayan dinasihatkan tidak turun ke laut sekiranya cuaca tidak sesuai.

“Sehubungan itu, kita menubuhkan pusat bencana di peringkat kementerian bagi menyalurkan bantuan-bantuan bagi membantu nelayan terlibat dengan bencana tersebut,” katanya.

Media Baharu