fb fb fb fb fb

Malaysia terima pengiktirafan daripada pihak UNOOSA - MOSTI

KUALA LUMPUR, 4 Oktober- Malaysia telah menerima pengiktirafan daripada pihak United Nations Office for Outer Space (UNOOSA) sebagai antara negara contoh dalam pembangunan perundangan angkasa di rantau Asia Tenggara lanjutan daripada pewujudan Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 (Akta 834).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata bagi melaksanakan penguatkuasaan Akta 834 dan bertindak sebagai Setiausaha Eksekutif kepada Lembaga Angkasa Malaysia, kementeriannya telah menubuhkan Bahagian Penguasa Angkasa (BPA) pada Julai 2022.

"Pewujudan Akta 834 yang berkuat kuasa pada 4 Ogos lalu bertujuan untuk kita menubuhkan Lembaga Angkasa Malaysia bagi mengawal selia aktiviti berkaitan angkasa seperti tujuan keselamatan, mengawal selia pendaftaran objek angkasa dan mengadakan peruntukan bagi kesalahan berkaitan angkasa tertentu serta perkara yang berkaitan.

Akta ini akan memastikan aktiviti angkasa negara dilaksanakan secara tanggungjawab, selamat dan terjamin selain mematuhi garis panduan yang dipersetujui di peringkat antarabangsa terutamanya melalui nited Nations Office for Outer Space (UNOOSA)," kata Adham dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Sambutan Minggu Angkasa Sedunia yang ke-22 bertemakan "Kelestarian Angkasa" di Pusat Sains Negara di ibu negara.


(Menteri MOSTI, Datuk Seri Dr. Adham Baba ditemui media pada Majlis Pelancaran Sambutan Minggu Angkasa
Sedunia yang ke-22 bertemakan "Kelestarian Angkasa" di Pusat Sains Negara)

Sempena Minggu Angkasa Sedunia, MOSTI melalui Planetarium Negara telah merangka program-program menarik untuk pelbagai lapisan masyarakat bermula 4 hingga 10 Oktober 2022.

Inisiatif ini diharap dapat menyemai aktiviti pembudayaan dan pengaplikasian Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kalangan Keluarga Malaysia serta meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan STI dalam usaha Malaysia untuk mencapai status negara maju.

 

Media Baharu