fb fb fb fb fb

12,000 idea anak muda diterima menerusi IBN ke arah pembangunan negara

SHAH ALAM, 4 Oktober - Sebanyak 12, 000 pandangan anak muda dari seluruh negara diterima menerusi platform Idea Bina Negara (IBN), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata, IBN membuka ruang dan peluang kepada anak muda menyalurkan pendapat serta menyuarakan permasalahan kepada kerajaan.

Penyumbang idea terbesar adalah dalam kalangan belia berusia lingkungan 18 hingga 21 tahun iaitu sebanyak 57.9 peratus.

“Kira-kira 12 peratus menyentuh aspek kestabilan, prestasi kerajaan serta kualiti dan kematangan pemimpin.

"Dalam usaha memperkukuhkan semangat Keluarga Malaysia, kerajaan sentiasa peka dan prihatin terhadap belia dan anak muda dengan memastikan luahan suara mereka sentiasa didengari dan diberikan perhatian.

"Ini kerana anak-anak muda mempunyai idealisme yang sangat penting kerana mereka didedahkan idea-idea yang lebih progresif yang diperoleh melalui input internet sama ada dari dalam mahupun luar negara," katanya.

Ismail berkata demikian ketika berucap melancarkan platform IBN Anak Muda di hadapan 4,000 mahasiswa di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.

(Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) ketika berucap pada sesi dialog awam bersama
moderator Luqman Hariz sempena Majlis Perasmian Idea Bina Negara (IBN) 2022
di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini/FOTO BERNAMA)

Sementara itu, Ismail berkata kerajaan amat prihatin mengenai isu peluang pekerjaan yang menghantui golongan anak muda masa kini apabila 46.2 peratus belia hanya memperoleh pendapatan bulanan kurang daripada RM2,500 sebulan.

Sehubungan itu, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk perantis lepasan sekolah dan graduan yang membenarkan majikan untuk menggaji pekerja berusia 18 hingga 30 tahun dengan menyediakan insentif berjumlah RM900 sebulan.

Oleh itu kerajaan memperkenalkan pelan pembiayaan berjumlah RM150 juta disalurkan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank khusus belia yang ingin menceburi bidang keusahawanan.

Sebanyak RM4.8 bilion disalurkan menerusi inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia dengan 600,000 peluang pekerjaan disediakan kepada golongan muda menerusi karnival Kerjaya JaminKerja Keluarga Malaysia.

Media Baharu