fb fb fb fb fb

KPWKM sasar 60,000 kaunselor, tampung keperluan semasa

PUTRAJAYA, 4 Oktober- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan 60,000 kaunselor bagi menampung keperluan semasa dalam membantu menangani masalah kesihatan mental rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata bagi mencapai sasaran tersebut pihaknya memerlukan kerjasama semua pihak terutama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menawarkan program kaunselor di peringkat ijazah.

"Saya melihat keperluan perkhidmatan kaunseling ini amat diperlukan. Kita boleh lihat dalam tempoh dua tahun pasca COVID-19 ini, terdapat banyak kes memerlukan kepakaran ini. Syarat untuk menjadi kaunselor adalah individu perlu ada kelayakan akademik di peringkat ijazah sarjana muda atau ijazah sarjana dalam kursus kaunseling. Lebih kurang 25 universiti IPTA dan IPTS menawarkan kursus tersebut," kata Rina Harun kepada RTM pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan 2022 di Putrajaya, pagi tadi.


(Menteri KPWKM, Datuk Seri Rina Harun berucap pada Majlis Sambutan Bulan Kaunseling
Kebangsaan 2022 di Putrajaya)

Tambahnya, pihak kementerian akan memudahkan proses pendaftaran kaunselor dengan menerima permohonan dan melaksanakan sesi pengesahan kelayakan kaunselor secara dalam talian.

Sehingga 31 Ogos 2022, KPWKM melalui Lembaga Kaunselor Malaysia telah berjaya mendaftarkan seramai 10,136 kaunselor manakala 1,500 kaunselor berdaftar sebagai sukarelawan kaunselor berdaftar.

Dalam pada itu, sepanjang 2021 sehingga Jun 2022, sejumlah 64,537 kes intervasi kaunseling telah dikendalikan oleh agensi di bawah KPWKM.

Media Baharu