fb fb fb fb fb

Bajet 2023: KPM mohon 11 inisiatif untuk tahun depan

PUTRAJAYA, 4 Oktober - 11 inisiatif membabitkan tiga teras utama dengan kos kira-kira RM6.8 bilion merupakan senarai harapan Kementerian Pendidikan (KPM) pada Bajet 2023 yang bakal dibentangkan Jumaat ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata ia membabitkan inisiatif untuk murid, guru dan infrastruktur.

Menurutnya, antara yang menjadi permintaan KPM untuk dilaksanakan tahun depan termasuk pembelian peranti bagi kegunaan guru di seluruh negara dan peningkatan kos Rancangan Makanan Tambahan (RMT) serta kemudahan untuk murid berkeperluan khas.

(Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin / FOTO FAIL)

"Apa yang paling penting kita ingin melihat supaya dengan inisiatif ini keseluruhan ekosistem pendidikan ini akan dapat terus ditambah baik dari semasa ke semasa. Antara yang kita rasa perlu perhatian khusus adalah berkaitan dengan guru termasuk pemberian peranti untuk guru.

"Memandangkan kita bergerak ke arah mendigitalkan pendidikan, maka peranti untuk guru ini merupakan satu komponen penting kerana lepas ini banyak lagi perkara kita akan automasikan dan digitalkan dalam pendidikan," katanya ketika bercakap dalam sidang media selepas lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 9 (2), di sini.

Tambah Radzi, KPM turut memohon peruntukan khusus untuk menggalakkan pendaftaran mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang dilihat semakin merosot.

"Kemasukan untuk program STEM semakin hari semakin menurun dan ia memerlukan intervensi menyeluruh dan peruntukan khusus.

"Ini bagi meningkatkan kemasukan ke program STEM bagi menyediakan modal insan masa hadapan yang mempunyai kepakaran supaya Malaysia dapat bersaing di peringkat dunia," katanya.

Media Baharu