fb fb fb fb fb

KPM teliti penyelesaian isu kantin padat

Datuk Dr Radzi (dua kiri) beramah mesra bersama murid  di kantin sekolah semasa mengadakan
lawatan mengejut ke Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(2), Putrajaya/BERNAMA)

PUTRAJAYA, 4 Oktober- Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti penyelesaian bagi menangani isu kantin sekolah tidak mampu menampung kapasiti terutama di sekolah yang mempunyai bilangan murid ramai.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pihaknya menyedari ada antara sekolah berkapasiti padat terpaksa menjadualkan lima sesi rehat berikutan kantin sekolah tidak mampu menampung bilangan murid yang datang secara serentak.

"Namun begitu hasil daripada tinjauan kita di sekolah padat ini kita mendapati satu lagi perkara kita kena lihat adalah berkaitan dengan kantin ini dan kalau ada setengah itu ada ruang untuk pembesaran kantin namun ada setengah sekolah agak sukar.

"Jadi kita sedang teliti perkara ini supaya sesi rehat itu tidak lakukan terlalu banyak kali menyebabkan rehat terawal itu agak bermula terlalu awal. Jadi itu antara perkara yang kita sedang teliti di seluruh negara," kata Dr Radzi selepas lawatan ke Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2), di sini.

(Datuk Dr Radzi pada sidang media selepas lawatan ke Sekolah Kebangsaan Putrajaya
Presint 9 (2),Putrajaya)

Tambah beliau, keadaan itu berlaku di sekolah yang mengalami peningkatan kepadatan murid sedangkan kantin hanya mampu menampung kapasiti asal kerana ia tidak ditingkatkan selari dengan peningkatan jumlah murid.

Sebelum ini, KPM memberi tumpuan kepada sekolah berkapasiti padat sebelum hasil tinjauan itu mendapati isu membabitkan waktu rehat berikutan ruang kantin yang tidak dapat menampung bilangan murid.

Media Baharu