fb fb fb fb fb

Bacaan kali kedua RUU kawalan tembakau dan merokok dibentang Khamis ini - Khairy

(FOTO HIASAN)

PUTRAJAYA, 4 Oktober - Bacaan kali kedua bagi Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok akan dibentangkan di Dewan Rakyat, Khamis ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata RUU itu dapat dibentangkan selepas Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen yang bermesyuarat semalam bersetuju untuk meminda RUU berkenaan.

JPK dianggotai 12 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang, dengan Khairy sebagai pengerusi.

(Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin)

"Semua ahli JPK Parlimen dah setuju, jadi bawa sahajalah, semua urusan rumit sudah selesai serta RUU ini juga sudah mendapat pandangan daripada pihak lain.

"Saya yakin RUU ini boleh diluluskan jika mengikut aturan mesyuarat, tapi sekiranya Parlimen dibubarkan dan ia tidak sempat dibawa ke Dewan Negara, undang-undang ini mesti dibentangkan semula oleh kerajaan baharu, itu prosedurnya," kata Khairy dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KKM, di sini.

Pada 27 Julai lalu, Khairy membentangkan RUU itu untuk bacaan kali pertama dan Dewan Rakyat pada 2 Ogos lalu bersetuju supaya ia dirujuk kepada JPK Parlimen untuk diteliti serta membuat syor penambahbaikan sebelum bacaan kedua.

RUU berkenaan bertujuan mewujudkan Generasi Penamat (GEG), hanya akan membabitkan golongan individu lahir selepas 1 Januari 2007.

Ini antara lain melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk rokok elektronik atau 'vape' kepada individu yang dilahirkan pada tahun selepas 2007.

Media Baharu