fb fb fb fb fb

Kadar inflasi negara terkawal di bawah unjuran 3.2 peratus

KUALA LUMPUR, 4 Oktober - Kadar julat inflasi negara masih berada dalam julat yang telah diunjurkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu di bawah 3.2 peratus, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Alexander berkata julat inflasi itu selari dengan unjuran Bank Negara Malaysia bagi tahun 2022 yang berlegar di antara 2.2 peratus hingga 3.2 peratus.

"Ini bermakna, walaupun bulan Ogos mencatatkan kadar inflasi 4.7 peratus namun hakikat sebenar julat Januari hingga Ogos 2022 pada kadar 3.1 peratus adalah masih berada dalam julat yang telah diunjurkan oleh BNM.

"Kadar inflasi yang tinggi pada masa ini merupakan fenomena global dan didorong oleh faktor-faktor luaran," katanya menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata kadar inflasi di sesetengah negara pada ketika ini di peringkat serantau dan global masih mencatatkan paras yang lebih tinggi berbanding Malaysia.

Tambah beliau, kadar inflasi yang rendah di Malaysia didorong oleh inisiatif dan langkah proaktif kerajaan untuk menyediakan subsidi bagi mengekang inflasi.

Langkah itu juga memastikan Keluarga Malaysia tidak terlalu terbeban apabila berhadapan dengan cabaran kos sara hidup.

"Tidak benarlah dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa subsidi kerajaan untuk beberapa barang keperluan asas ditarik balik, malah jumlah pemberian subsidi Kerajaan terus meningkat," katanya lagi.

Ujarnya, kadar inflasi di negara ini akan mencecah ke paras yang lebih tinggi iaitu sehingga 10.6 peratus sekiranya tiada intervensi (campur tangan) dari kerajaan.

(Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi)

Katanya, kadar inflasi kekal pada paras terkawal kesan pelaksanaan subsidi serta strategi di bawah Dasar Monetari Negara dan juga Penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.

Inisiatif itu termasuk pelaksanaan program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM), kawalan harga minyak masak sawit tulen kemasan botol, kawalan harga ayam dan telur serta pengenalan Menu Keluarga Malaysia.

"Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi telah memperluaskan program JMKM kepada 512 Dewan Undangan Negeri (DUN) semenjak pertengahan Ogos 2022.

"Keluarga Malaysia boleh mendapatkan barangan sehingga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran setempat.

"Kerajaan meneruskan harga minyak masak sawit tulen kemasan botol 1kg, 2kg, 3kg dan 5kg secara harga siling bergerak berdasarkan harga minyak sawit mentah dunia.

"Kawalan harga ayam dan telur ayam diteruskan berdasarkan pemberian subsidi penternakan sebanyak RM1.1 bilion.

"Menu Keluarga Malaysia diperkenalkan di bawah inisiatif Bakul Makanan Siswa bagi sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam yang berkualiti pada harga RM3.50 di universiti pengajian tinggi awam," jelasnya lagi.







Media Baharu