KUALA LUMPUR, 2 Mei- Kosovo mengambil langkah penting untuk memperluas capaian diplomatik negara itu di tengah-tengah Asia Tengara menerusi pembukaan kedutaan baharu di Malaysia.
Presiden Republik Kosovo Dr Vjosa Osmani Sadriu berkata, perkara itu sekali gus mencerminkan hubungan baik dengan Malaysia selain mengukuhkan cita-cita untuk membina hubungan dengan negara-negara luar di peringkat global.
Kerjasama dengan Malaysia merupakan sebahagian besar daripada diplomasi dan pertukaran ekonomi kepada pendidikan serta budaya.
"Kehadiran kami di sini adalah satu langkah strategik dan tepat pada masanya, sebagai satu sambungan penting kepada rantau yang sedang membentuk masa depan meliputi dasar antarabangsa, pasaran global, dan dinamik yang berkembang pesat dalam abad ke-21.
"Saya ingin sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas perkongsian yang amat bermakna serta persahabatan yang tulus daripada rakyat Malaysia. Kami yakin bahawa akan wujud lebih banyak pertukaran serta penglibatan bermakna antara kedua-dua negara kita pada masa akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan Kedutaan Kosovo di ibu negara.
Majlis Perasmian itu disaksikan Menteri Pendidikan yang juga selaku Menteri Pengiring Fadhlina Sidek dan Menteri Kaunselor Kosovo Fitim Sadiku.
Pada majlis itu Dr Vjosa Osmani menganugerahkan Darjah Kebesaran Kemerdekaan secara anumerta kepada bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Abdullah Ahmad Badawi, sebagai menghargai sumbangan beliau terhadap keamanan dan kebebasan Kosovo, serta sokongan padu terhadap proses kemerdekaan dan pembinaan negara itu.