KANGAR, 3 Mei- Qari dari Perak Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dan qariah Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi mewakili Terengganu muncul johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2025/1445H.
Masing-masing membawa pulang wang tunai RM20,000 dan tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji berserta piala, cenderamata dan sijil penyertaan.
Mereka juga menerima satu dinar emas Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) Gold dan telefon pintar kurniaan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid serta kerajaan negeri.
Sementara itu, Qari dari Perak, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan, 27 tahun, yang merupakan Pensyarah di Darul Quran beroleh 94.50 markah, tidak menyangka menjadi johan memandangkan beliau mengalami masalah kesihatan sebelum pertandingan.
"Alhamdulillah, saya berasa seronok dan terkejut juga. Sebab masa persembahan tu saya dalam keadaan kurang sihat. Jadi bersyukur dapat baca yang terbaik dan alhamdulillah, tak sangka dapat johan juga,” katanya selepas keputusan diumumkan oleh Ketua Juri yang juga Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.
Dalam pada itu, Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi, 31 tahun, seorang guru Al-Quran dari Terengganu yang mula bertaranum sejak usia 12 tahun, dengan bimbingan ibunya sendiri.
Beliau menekankan pentingnya sifat tawaduk dan keikhlasan dalam mendalami bidang ini.
“Tapi bila kita berada dalam bidang ini, nombor satu sekali janganlah kita rasa diri kita lebih baik dari orang lain. Sentiasa merendahkan diri dan betulkan niat. Nak istiqamah dalam bidang ini memang mencabar,” katanya yang ditemui RTM selepas majlis penyampaian hadiah.
Pada majlis sama, Kedah pula dinobatkan sebagai juara keseluruhan manakala bagi kategori hafazan 30 juzuk berserta tafsir, Muhammad Adib Ahmad Rozaini dari Perak dan Putri Auni Khadijah Mohd Hanif dari Kelantan diumumkan sebagai pemenang masing-masing bagi bahagian lelaki dan perempuan.
Selain itu, Muhammad Imran Hussin dari Selangor meraih tempat pertama untuk kategori hafazan 20 juzuk bagi bahagian lelaki manakala bahagian perempuan disandang Siti Khadijah Anuar dari Selangor.
Bagi kategori hafazan 10 juzuk berserta taranum pula, johan menjadi milik Mohamad Khayruddin Zakwan Jaimis dari Sabah bagi bahagian lelaki manakala Shashahani Irdina Shamsul Rizal dari Selangor mengungguli bahagian perempuan.
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menyempurnakan majlis penutup tilawah di Dewan 2020 di sini pada Jumaat.
Turut berangkat, Raja Perempuan Perlis, Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis, Raja Puan Muda Perlis, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama serta Menteri Besar Perlis.