KOTA BHARU, 24 Oktober- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membekukan cuti 80% daripada 13,475 pegawai dan anggotanya bagi bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan berlaku banjir sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin berkata pembekuan cuti itu akan bermula sebaik sahaja sekretariat banjir mengisytiharkan operasi penyelamatan banjir di daerah atau negeri.
Katanya, arahan telah dikeluarkan kepada semua pegawai dan anggota di 337 balai di seluruh negara.
Pihaknya turut merangka pendekatan mewujudkan pangkalan hadapan mengikut kawasan untuk pantai timur, menempatkan aset-aset lebih awal dan bersedia untuk digerakkan pada masa yang diperlukan.
Tindakan itu berdasarkan ramalan cuaca 2023 yang menjangkakan pantai timur merupakan negeri yang akan terlibat dalam fasa pertama banjir.
“Kita tempatkan aset-aset lebih awal di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) di Wakaf Tapai, Terengganu untuk tiga negeri pantai timur.
Jadi, dengan penempatan aset keanggotaan secara berpusat lebih awal termasuk pesawat udara akan memberi satu tindakan bantuan kepada negeri yang terlibat di peringkat awal banjir dapat digerakkan dengan segera lah,” kata Abdul Wahab dalam sidang media di Ibu Pejabat JBPM negeri Kelantan, Tunjong, di sini.
Mengulas lanjut, pihak bomba telah mengenal pasti sebanyak 5,648 lokasi berisiko banjir di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, Sarawak merekodkan kawasan tertinggi dengan 1,066 lokasi diikuti Sabah (798) dan Pahang (750).