PUTRAJAYA, 16 Februari- Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan memberikan insentif berjumlah RM120,000 kepada enam masjid dan surau yang terbaik dalam pengurusan tandas kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Insentif itu akan diberikan setelah penilaian berkala dibuat dalam tempoh enam bulan secara konsisten.
"Kempen kebersihan ini adalah sebahagian program yang JAWI adakan untuk memastikan lebih ramai ahli kariah akan datang untuk tunaikan solat.
"Kempen ni kami mulakan dan harapan saya masjid dan surau di bawah pentadbiran JAWI menjadi contoh kepada masjid dan surau yang lain," katanya selepas melancarkan Kempen Kebersihan Tandas Masjid dan Surau Bertaraf Lima Bintang Peringkat Wilayah Persekutuan di sini.
Tahun lepas Masjid Mahmoodiah, Putrajaya merupakan penerima penarafan lima bintang bagi kategori tandas awam 'sangat bersih'.
Mohd Na'im berkata pemilihan tandas terbaik meliputi aspek infrastruktur yang terdapat di kawasan tandas terlibat selain bersih dan wangi.
Kempen kebersihan tandas itu, diadakan sempena Jubli Emas JAWI sebagai usaha menjaga dan memelihara kemuliaan masjid dan surau.