fb fb fb fb fb

JAWI atur pelbagai program dan aktiviti, ajak orang ramai imarahkan bulan Ramadan

KUALA LUMPUR, 2 April- Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah mengatur pelbagai program menarik, sebagai pengisian muslimin dan muslimat di Wilayah Persekutuan bersempena ketibaan bulan Ramadan.

Menurut Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail ia meliputi pengisian ibadah, kerohanian, pembudayaan ilmu dan kemasyarakatan di semua premis di bawah seliaan JAWI.

"Kita telah pun mengagihkan bantuan Ihya’ Ramadan kepada masjid dan juga surau Jumaat, setiap masjid akan diberikan RM15,000, setiap surau jumaat akan diberikan RM12,500 dan surau RM11,000 untuk digunakan bagi program dan aktiviti sepanjang bulan Ramadan.

"Kita juga telah mengeluarkan pekeliling tentang SOP yang terbaharu untuk panduan masjid, berhubung apa yang boleh, apa yang tak boleh, apa yang perlu dijaga dan yang ketiga, kita juga telah pun memberikan kebenaran kepada mana-mana masjid dan surau untuk menjemput imam-imam yang bersesuaian dan juga menggilirkan mereka," kata Mohd Ajib kepada pemberita RTM.


(Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail)

Antara program lain yang turut diatur JAWI termasuk Program Iftar atau Berbuka Puasa di Masjid, Kongsi Rezeki Agihan Bubur Lambuk dan Kurma, Ziarah Kasih Ramadan Bersama Asnaf dan Gelandangan serta Kempen Jom Infaq dan Masjid Di Hatiku.

Tambah beliau, program tersebut dilaksanakan bagi memberi peluang kepada umat Islam melipatgandakan ibadah serta menzahirkan keprihatinan dan perasaan empati terhadap kesusahan yang dialami insan lain .

Bercakap kepada pemberita, Datuk Ajib juga mengajak orang ramai merebut peluang mengimarahkan masjid setelah dibenarkan merapatkan saf.

Sementara itu, pihak masjid di sekitar Wilayah Persekutuan juga akan mengagihkan makanan bermasak setiap setiap hari kepada orang ramai sepanjang Ramadan.

Media Baharu