fb fb fb fb fb

Jawatankuasa teknikal teliti isu keselamatan, jenayah akan diwujudkan

Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 24 Januari- Satu jawatankuasa teknikal melibatkan Kementerian Komunikasi, Kementerian Digital dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri akan diwujudkan bagi meneliti isu keselamatan serta perkara yang terkait dengan jenayah dalam talian kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Jawatankuasa itu juga akan berpandukan kepada maklum balas yang diterima sama ada melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengenai aktiviti seperti jualan dadah, perjudian dalam talian atau aktiviti lain termasuk sebaran video.

"Undang-undang sedia ada akan diteliti serta undang-undang yang ada di negara-negara lain yang mungkin dalam aspek yang sesuai dengan keperluan dalam Malaysia.

"Ia bagi menjamin keselamatan terutama bagi kanak-kanak dalam menggunakan media sosial dan juga untuk melayari internet," katanya sidang media khas pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di Kementerian Komunikasi, di sini.

Dalam perkembangan lain, Fahmi yang juga jurucakap bagi Kerajaan Perpaduan berkata keanggotaan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kes kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan akan diketahui selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Persetujuan Jemaah Menteri untuk menubuhkan RCI itu diumumkan Setiausaha Jemaah Menteri Tan Sri Mohd Zuki Ali, hari ini.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI