fb fb fb fb fb

Lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam bersifat sementara - JPA

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 24 Januari- Pengambilan secara lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam merupakan langkah interim (bersifat sementara) ke arah pelaksanaan kaedah baharu lantikan tetap diperkenalkan ke arah mengukuhkan sistem saraan perkhidmatan awam.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan berkata, keputusan itu diambil bagi memastikan kemampanan kewangan Kerajaan bagi jangka masa panjang.

"Pengambilan secara lantikan kontrak sebagaimana yang diumum baru-baru ini adalah merupakan langkah interim (bersifat sementara) ke arah pelaksanaan kaedah baharu lantikan tetap pegawai awam yang akan melibatkan pindaan Akta yang berkaitan.

"Pegawai dilantik menerusi lantikan kontrak (interim) ini akan dilantik secara tetap menerusi kaedah baharu di bawah sistem saraan perkhidmatan awam yang akan dimuktamadkan kelak. Lantikan ke jawatan tetap ini juga tertakluk kepada prestasi dan perakuan Ketua Jabatan selanjutnya," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun perkara itu berdasarkan peraturan dan dasar semasa yang berkuat kuasa iaitu Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Urusan
Perkhidmatan (UP) termasuk penetapan gaji dan kemudahan.

Penambahbaikan terhadap sistem saraan perkhidmatan awam dijangka dapat memacu kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam serta menjaga kebajikan penjawat awam seiring aspirasi Malaysia MADANI.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI