fb fb fb fb fb

Jawab persepsi tidak baik terhadap parti dengan pantas- Ahmad Zahid

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan pada program Better Nation BN Forum keempat bertajuk ‘Apa Yang Kita Boleh Belajar Dari PRU Kanada, Singapura, Australia’ malam tadi / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 23 Mei - Sebarang isu tular di media sosial membabitkan persepsi negatif Barisan Nasional (BN) perlu dijawab dalam tempoh tiga jam.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kelewatan menepis persepsi tidak baik terhadap parti itu akan memudaratkan parti.

Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan BN harus memulihkan kepercayaan dengan mewujudkan politik intelektual kerana rakyat semakin celik dan mahu politik yang mempunyai isi.

“Kunci kejayaan adalah pemulihan kepercayaan bukan sekadar menambah undi. Kita kalah pada 2018 apatah lagi pada 2022 kerana pada hemat saya persepsi yang dilemparkan kepada kita itu terlalu berat dan kita tidak menangani persepsi itu dalam tempoh yang dekat.

“Kini media sosial mesti digunakan sebagai asas utama dan sebarang isu terutamanya persepsi negatif mesti dijawab dalam tempoh tiga jam, kita menjawab selepas tiga hari, kadang-kadang lepas 30 hari, ini telah terlekat di minda rakyat walaupun adakalanya tidak betul (persepsi).

Beliau berkata demikian pada Program Better Nation BN Forum keempat bertajuk ‘Apa Yang Kita Boleh Belajar Dari PRU Kanada, Singapura, Australia’ di sini, malam tadi.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata BN perlu bangkit dengan politik harapan yang mampu memimpin dengan kestabilan serta dasar sesuai bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

"PRU bukan tentang slogan kosong tetapi naratif yang menyentuh hidup rakyat. BN harus membina naratif baharu yang menyentuh keresahan rakyat khususnya soal kenaikan harga barang, perumahan, pekerjaan dan masa depan anak-anak."katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan setiap anggota parti itu bahawa keutamaan terhadap kesejahteraan rakyat bukan hanya retorik tetapi perlu diterjemahkan menerusi agenda yang mesti dilaksanakan untuk tempoh lima tahun akan datang.

BN katanya harus belajar daripada keputusan PRU di Kanada, Singapura dan Australia yang menyaksikan parti membentuk kerajaan adalah parti yang berdepan dengan pelbagai cabaran namun kekal memerintah.

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN