fb fb fb fb fb

JAS Perlis jalankan Ops Bersepadu dengan IPD Padang Besar

FOTO JAS Perlis

PADANG BESAR, 1 Oktober- Jabatan Alam Sekitar Negeri Perlis melaksanakan Ops Bersepadu bersama IPD Padang Besar di KM 24, Jalan Padang Besar – Chuping, petang semalam.

Dalam operasi tersebut, JAS Perlis telah menjalankan pemeriksaan pelepasan asap hitam ke atas 32 buah kenderaan pelbagai jenis dan kesemuanya didapati mematuhi had pelepasan yang ditetapkan iaitu tidak melebihi 50% bawah Peraturan 11, Peraturan - Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996.

Pengarah JAS Perlis, Jamal Affendy Shahar dalam kenyataannya memaklumkan, selain pemeriksaan asap hitam, pihaknya turut menjalankan pengujian tahap bunyi bising daripada ekzos motosikal menggunakan alat meter pengukuran bunyi yang tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987 dan tiada kesalahan dikesan semasa pemeriksaan dijalankan.

“JAS Negeri Perlis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik kenderaan yang gagal mematuhi Peraturan Peraturan berkaitan dan tindakan tegas seperti kompaun dan pendakwaan di mahkamah boleh diambil sekiranya kenderaan yang diperiksa gagal melepasi ujian pengukuran asap dan pengukuran bunyi bising," katanya.

Selain operasi pelepasan asap hitam dan pengujian tahap bunyi bising ekzos motosikal, pihak polis turut mengeluarkan 36 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas kepada setiap kenderaan yang diperiksa.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE