KUALA LUMPUR, 1 Oktober- Dasar Pengkomputeran Awan Negara bakal diperkenal, menekankan empat teras utama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata teras berkenaan adalah inovasi dan kecekapan perkhidmatan awam serta daya saing dan pertumbuhan ekonomi.
Teras itu turut meliputi usaha memperkukuh kepercayaan pengguna dan keselamatan data serta pemerkasaan rakyat melalui keterangkuman digital.
"Teras pertama membabitkan usaha kerajaan MADANI meningkatkan aspek inovasi dan kecekapan perkhidmatan awam manakala pemanfaatan teknologi awan membolehkan kerajaan menyasarkan pemodenan operasi, memupuk penglibatan rakyat serta menyelaras penyampaian perkhidmatan awam."
“Kedua, kita juga mahu menggalakkan daya saing dan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan pengembangan ekonomi dengan membolehkan perniagaan, terutama perusahaan kecil dan sederhana serta syarikat pemula niaga memanfaatkan teknologi awan untuk inovasi, kecekapan operasi dan akses ke pasaran global," kata Datuk Seri Anwar.
Beliau berucap demikian pada majlis pecah tanah pembinaan pusat data dan wilayah awan pertama Google di Malaysia, yang merangkumi pelaburan bernilai AS$2 bilion di ibu negara.
Mengulas lanjut, Anwar berkata rangka kerja dan protokol keselamatan yang teguh akan diwujudkan, demi melindungi data dan infrastruktur kritikal, dalam persekitaran awan termasuk awam dan swasta.
Perkara itu selaras dengan teras ketiga iaitu mengukuhkan kepercayaan pengguna dan keselamatan data.
"Bagi teras keempat, kita akan memperkasa rakyat melalui keterangkuman digital. Pendekatan kita akan berasaskan rakyat serta inklusif, menggunakan teknologi awan untuk meningkatkan akses serta kecekapan perkhidmatan awam yang mengutamakan digital," kata beliau.