fb fb fb fb fb

Pelaburan Google: Jana ekonomi, tawar peluang kerjaya

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima cenderamata daripada Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google Ruth Porat (kanan) pada Majlis Google's Mantap Malaysia Bersama AI hari ini/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Oktober- Pelaburan Google menerusi pembinaan pusat data dan rantau awan di Malaysia, dijangka dapat menjana impak ekonomi bernilai lebih AS$3.2 bilion.

Selain itu, menawarkan sebanyak 26,500 pekerjaan menjelang tahun 2030.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat berkata syarikat itu komited terhadap usaha kemajuan digital di Malaysia, menerusi usaha pelaburan berkenaan.

“Pelaburan Google dalam aspek infrastruktur, kemahiran digital dan kemampanan memaparkan kemajuan dalam usaha bersama kami dengan kerajaan Malaysia untuk mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan membawa manfaat AI kepada komuniti serta syarikat tempatan," katanya pada majlis berkenaan.

Pada masa sama, Porat menekankan bahawa Google akan menyokong inovasi dan pertumbuhan di Malaysia selain membolehkan individu dan perniagaan memaksimumkan potensi era digital.

“Dalam usaha ini, Google akan meneruskan pemantauan sumber asli yang bertanggungjawab dengan meningkatkan ekosistem kawasan tadahan air komuniti di Malaysia selain membantu memacu penggunaan sumber tenaga boleh baharu tempatan," katanya.

Pusat data yang kini dalam pembinaan di Elmina Business Park, Selangor itu, akan menangani peningkatan permintaan terhadap keupayaan Google Cloud, inovasi kecerdasan buatan (AI) serta perkhidmatan digital lain yang digunakan setiap hari oleh individu serta organisasi di Malaysia.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadiri majlis pecah tanah pusat data dan rantau awan Google bernilai AS$2 bilion di Malaysia yang diadakan pada acara “Mantap Malaysia Bersama AI” yang julung kali diadakan.

Turut hadir, pada majlis itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Majlis itu adalah susulan kepada pengumuman Google Cloud pada 2022 bagi mewujudkan rantau awan tempatan untuk kemudahan organisasi sektor awam, perniagaan kecil hingga sederhana, syarikat pemula niaga serta perusahaan besar.

Wilayah awan itu akan menawarkan perkhidmatan berprestasi tinggi, membolehkan pelanggan menikmati aspek keselamatan data yang maksimum dan piawaian pematuhan, termasuk keperluan penyimpanan data khusus.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM