PUTRAJAYA, 19 Julai -Jabatan Alam Sekitar (JAS) komited memperkukuh langkah penguatkuasaan susulan laporan siasatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) semalam berkaitan kelemahan dalam kawalan premis kitar semula di Johor.
Ketua Pengarah Alam Sekitar Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dalam kenyataan berkata, tindakan penguatkuasaan lebih tegas terhadap premis yang melanggar undang-undang secara berulang, antara langkah yang akan diberi penekanan.
Beliau berkata JAS akan melaksanakan penahanan operasi kelengkapan, menggantung lesen premis yang ditetapkan dan menyediakan kertas siasatan untuk tindakan mahkamah mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
JAS juga telah meneliti, menyemak dan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) sedia ada bagi memastikan menyeragamkan di semua peringkat operasi termasuk di negeri dan daerah.
"Bagi memastikan SOP ini difahami dan dilaksanakan dengan baik, sesi libat urus berterusan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa kepada semua pegawai," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Datuk Wan Abdul Latiff berkata JAS juga telah meminda garis panduan kompaun sedia ada bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan yang lebih baik dan adil.
"Selain itu, tindakan pengeluaran tawaran kompaun memerlukan izin dari Timbalan Pendakwa Raya bagi memastikan proses keadilan mematuhi keperluan dan kehendak di bawah perundangan sedia ada," katanya.
Beliau berkata perintah pewakilan kuasa yang menggabungkan enam perintah sedia ada di bawah satu perintah yang dinamakan Perintah Kualiti Alam Sekeliling (pewakilan kuasa kepada jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan perbadanan 2025 yang telah diwartakan pada 7 Julai dan mula berkuat kuasa pada 8 Julai lepas.
"Pewakilan kuasa ini satu langkah proaktif dalam menangani pelbagai isu di bawah bidang kuasa jabatan serta agensi-agensi yang terlibat," katanya.
Datuk Wan Abdul Latiff berkata JAS melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam telah mengambil maklum laporan siasatan EAIC pada 7 Julai lepas yang menyimpulkan bahawa dakwaan pengadu adalah tidak berasas.
Ia berdasarkan justifikasi bahawa JAS Johor telah melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap premis-premis yang diadukan mengikut undang-undang dan SOP ditetapkan.
Selain itu, semakan terhadap dokumen berkaitan menunjukkan semua premis terbabit memiliki lesen sah daripada JAS dan PBT serta beroperasi di kawasan perindustrian yang diluluskan.
Wan Abdul Latiff berkata tiada bukti kukuh salah laku yang dilakukan oleh mana-mana pegawai JAS Johor semasa melaksanakan penguatkuasaan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Segamat turut menjalankan siasatan dan mengesahkan tiada unsur rasuah dikesan.
Selain itu, tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya telah diambil oleh JAS terhadap premis berkenaan.