fb fb fb fb fb

Pengumuman besar untuk rakyat Isnin atau Selasa depan - PM

Foto RTM

PERMATANG PAUH, 19 Julai - Teka-teki berhubung poster yang dimuat naik di media sosial rasmi Perdana Menteri baru-baru ini bakal terjawab pada Isnin atau Selasa depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengumuman itu akan memfokuskan kepada isu kos sara hidup yang dihadapi rakyat ketika ini.

"Saya akan cari jalan, sekarang tiap-tiap minggu pasukan Menteri Kewangan mencari apa yang boleh diumumkan dalam masa singkat, saya dah beritahu saya akan buat pengumuman besar untuk menangani masalah yang dihadapi rakyat, sama ada pada Isnin atau Selasa. Doa yang elok-elok, Insya-Allah", katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Pelan Induk Bumiputera Tunas MADANI dan Projek Perumahan JKP Sdn Bhd di Dewan Besar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh.

Hadir sama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dato' Dr Mohamad Abdul Hamid, serta Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang, Tan Sri Khalid Ramli.

Selasa lepas, satu hantaran dimuat naik di akaun media sosial Facebook milik Perdana Menteri memberi bayangan akan membuat pengumuman besar sebagai penghargaan luar biasa kepada rakyat Malaysia.

MASNIZA AWANG KECHIK