JAS Kedah tahan operasi enam mesin proses sisa plastik

Salah satu daripada enam mesin memproses sisa palstik yang disita

BUKIT SELAMBAU, 10 Mac– Enam mesin memproses sisa plastik dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) menerusi Op Gempur di sebuah premis di kawasan Perindustrian Bukit Selambau, dekat Sungai Petani, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Premis menjalankan pembersihan dan penyempritan sisa plastik untuk menghasilkan palet plastik.
  • JAS mengenakan Penahanan Operasi Kelengkapan di bawah Seksyen 38(1)(a) ke atas mesin dan sistem kawalan pencemaran udara tanpa kebenaran.
  • Ditemui kira-kira 500 metrik tan sisa plastik dalam lebih 1,000 jumbo bag sebagai bahan mentah.
  • Sampel diambil dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis, kes disiasat di bawah Seksyen 34A(6) Akta Kualiti Alam Sekeliling.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata operasi bermula 9 pagi hingga 3 petang itu dijalankan hasil pemantauan berterusan pihak penguat kuasa JAS terhadap kegiatan industri yang berpotensi mencemarkan alam sekitar.

Hasil pemeriksaan mendapati premis terbabit menjalankan kegiatan pembersihan dan penyempritan sisa plastik yang diproses bagi menghasilkan palet plastik.

JAS Kedah telah mengenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) dibawah Seksyen 38 (1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ke atas enam unit mesin penyemprit plastik serta sistem kawalan pencemaran udara yang dipercayai digunakan dalam proses pengeluaran di premis berkenaan dan tanpa kebenaran JAS.

Siasatan lanjut juga menemukan sejumlah besar bahan mentah dan produk siap di premis itu termasuk 1,000 jumbo bag atau lebih kurang 500 metrik tan sisa plastik dipercayai digunakan sebagai bahan mentah dalam proses pembuatan.

Selain itu, pegawai penguat kuasa turut menemukan kira-kira 110 metrik tan produk siap iaitu palet plastik dipek di dalam 4,400 guni, dengan setiap guni dianggarkan seberat 25 kilogram.

Sampel sisa plastik serta produk pelet plastik diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis makmal.

Kes disiasat bawah Seksyen 34A (6) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. JAS Kedah akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan industri terhadap undang-undang alam sekitar serta tidak memberi kesan negatif kepada kesihatan awam dan alam sekitar

Sharifah Zakiah turut meminta orang awam menyalurkan maklumat atau melaporkan sebarang kegiatan yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau melalui http://eaduan.doe.gov.my.