fb fb fb fb fb

JaPen Melaka gabungkan medium konvensional dan terkini untuk promosi PADU

FOTO FAIL

MELAKA, 12 Januari - Jabatan Penerangan (JaPen) Melaka menjadikan gabungan medium konvensional dan terkini dalam merancakkan lagi promosi pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), kata Pengarahnya Shahrom Ravin Daram Abdullah.

Katanya ia termasuk menjadikan Komuniti MADANI sebagai rakan strategik agensi itu bagi membantu membuat hebahan kepada orang ramai terutama di kawasan pinggir bandar.

"Sebanyak 84 Komuniti MADANI dengan tiga pasukan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka digerakkan bagi membantu JaPen menyampaikan maklumat mengenai PADU ini.

"Melalui komuniti ini maklumat yang diperoleh daripada JaPen (berkaitan PADU) akan dihebahkan melalui pelbagai platform seperti aplikasi WhatsApp, Facebook dan Tik Tok mereka di samping secara bersemuka," kata Shahrom kepada media di Menara Persekutuan, di sini.

Shahrom juga berkata medium ”Info On Wheel” (IOW) JaPen iaitu perkongsian maklumat dengan orang ramai secara bersemuka akan turut dipergiatkan dari semasa ke semasa.

"Hebahan juga dilakukan secara langsung dan tidak langsung dalam majlis atau program yang dianjurkan oleh JaPen atau kerajaan negeri.

Jadi kita akan membantu dari setiap aspek dalam menghebahkan PADU kepada masyarakat terutama di kawasan pinggir bandar," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata setakat ini maklum balas yang diterima hasil daripada hebahan yang dilaksanakan sangat positif dengan semakin ramai penduduk hadir untuk mendaftar dengan PADU.

"Kaunter-kaunter yang dibuka seperti di Seri Negeri dan Menara Persekutuan ini semakin ramai dikunjungi masyarakat selepas mendapat informasi mengenai PADU hasil hebahan yang dilakukan," katanya lagi.

TETITIA YUSOFF