KUALA LUMPUR, 17 Ogos - Semua rakyat Malaysia digalak untuk terus mengibarkan Jalur Gemilang tanpa rasa takut atau terancam, terutamanya sempena sambutan Bulan Kebangsaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata Jalur Gemilang adalah simbol kebanggaan negara yang wajar dihormati oleh setiap warganegara.
"Jangan takut untuk mengibarkan Jalur Gemilang, kita sepatutnya perlu rasa berbangga dengan Jalur Gemilang yang kita ada.
"Usah biarkan mana-mana pihak yang cuba menakutkan kita, itu adalah tidak betul sama sekali. Malah tiada sesiapapun boleh membuli rakyat Malaysia, terutama dalam isu Jalur Gemilang," tegas beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Program Kesenian dan Kebudayaan @Lembah Pantai di sini hari ini.
Tambah beliau, sekiranya berlaku kekhilafan dalam pemasangan Jalur Gemilang, masyarakat seharusnya membantu membetulkan dengan penuh semangat kebersamaan.
"Sekiranya kita sebagai rakyat Malaysia melihat sesuatu perkara melibatkan Jalur Gemilang, kita tidak perlu herdik dan ugut. Kita cuma perlu bantu untuk membetulkan, " katanya.
Datuk Fahmi Fadzil menegaskan sambutan Bulan Kebangsaan perlu diraikan dalam suasana harmoni, rukun dan saling memahami bagi memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.##