fb fb fb fb fb

Geran Digital PMKS MADANI pacu transformasi kesihatan Pahang

Majlis Perasmian Geran Digital PMKS MADANI (GDPM) Fest 2025. - Foto Facebook Pahang Media.

KUANTAN, 17 Ogos - Penganjuran Program Geran Digital PMKS MADANI (GDPM) FEST 2025 peringkat Negeri Pahang, dijangka memperkukuh transformasi sektor kesihatan melalui penerapan teknologi baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Razali Kassim, berkata usaha itu selaras dengan Pelan Digital Pahang yang menyasarkan negeri ini berada pada tahap ‘Digital Ready’.

Menurutnya, pelaksanaan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang kini mencapai liputan 4G sebanyak 99.5 peratus dan 5G pada kadar 66 peratus, menjadi asas penting dalam menyokong sektor kesihatan.

“Peluasan jaringan ini secara langsung dapat membantu industri, termasuk kesihatan, bergerak lebih pantas,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan di Kuantan.

Beliau menjelaskan, peningkatan 10 peratus pesakit kencing manis antara 2019 hingga 2023, selain kadar warga emas yang mencecah 7.3 peratus daripada populasi negeri, menuntut kerajaan negeri menerapkan teknologi kesihatan baharu bagi menangani cabaran status negeri menua.

Tahun lalu, sebanyak 38,804 PMKS dalam bidang klinik dan farmasi di seluruh negara menerima manfaat geran bernilai RM89.6 juta, yang disalurkan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

TUN JULIA MOHD TAHIR