KUALA LUMPUR, 17 Ogos - Kerajaan memandang serius isu berkaitan buli dalam semua sektor perkhidmatan tidak terkecuali kes kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 untuk menangani buli pada Julai lalu membuktikan komitmen kerajaan untuk membanteras isu tersebut secara tegas.
"Buli bukan budaya kita. Buli harus dihentikan tidak kira di sekolah, di asrama, di tempat kerja, di rumah, dalam kalangan kawan-kawan, di padang bola atau dia mana-mana sahaja.
"Itu sebab kerajaan telah meminda undang-undang yang memperuntukkan bahawa perbuatan buli ini satu kesalahan jenayah dan pesalah boleh dihukum penjara," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Penyemarakan Seni Budaya@Komuniti Pantai dalam di ibu negara.
Pada masa sama, Datuk Fahmi mengingatkan masyarakat khususnya generasi muda agar menghayati nilai perpaduan dan saling menghormati sebagai asas keharmonian negara.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah, pada 17 Julai selepas dimasukkan ke hospital, setelah dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar pada 4.00 pagi, 16 Julai.