fb fb fb fb fb

RMK13 tumpu pembangunan graduan hadapi cabaran industri

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Hamizah Abd Hamid

KUALA LUMPUR, 17 Ogos - Cabaran dalam pasaran kerja untuk tempoh lima tahun mendatang menuntut graduan melengkapkan diri dengan kemahiran baharu, sejajar jurang pendapatan yang semakin melebar serta peningkatan populasi golongan berusia.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Hamizah Abd Hamid berkata, perkembangan teknologi, khususnya Kecerdasan Buatan (AI) perlu dilihat sebagai pemangkin kepada kreativiti manusia, bukannya pengganti.

Menurut beliau, keseimbangan antara kemahiran teknikal dengan insaniah dan penggunaan teknologi akan menentukan daya saing graduan dalam pasaran kerja, sekali gus memastikan mereka kekal relevan dalam era digital.

"Para graduan boleh memanfaatkan kemudahan yang disediakan bawah misi dan visi ini, termasuk kemudahan kewangan yang dapat digunakan sebagai akses kepada latihan, peluang serta pelbagai geran yang ditawarkan, khususnya untuk golongan belia", katanya.

Jelas Dr Hamizah, berbeza dengan dahulu, graduan kini mempunyai lebih banyak ruang untuk mengenal pasti kelemahan, menambah nilai serta mempelbagaikan kemahiran agar lebih bersedia untuk bersaing dalam pasaran kerja dan dunia keusahawanan.

MASNIZA AWANG KECHIK