GEORGE TOWN, 17 Ogos - Pemantauan dan penyelenggaraan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah perlu dilaksanakan secara berkala bagi memastikan ia kekal selamat dan selesa buat pengguna.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, setiap tahun kerajaan menyediakan peruntukan khusus bagi melaksanakan kerja penting itu.
"Setiap tahun, kita memang ada bajet. Lazimnya saya hanya memantau dari jauh, namun kali ini, saya berpeluang untuk melihat sendiri, serta mendalami dengan lebih dekat bagaimana kerja penyelenggaraan dibuat untuk jambatan. Kerja-kerja ini perlu dilakukan secara berterusan memandangkan jambatan ini adalah aset penting. Kita tidak boleh biarkan rosak, baru penyelenggaraan dilakukan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melepaskan peserta acara larian CIMB ASEAN Cultural Night Run 2025 (CIMB ACNR 2025) di Jambatan Kedua Pulau Pinang, malam tadi.
Kira-kira 4,000 peserta terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat menyertai larian anjuran Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Koperasi LLM Berhad yang memasuki edisi keempat tahun ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Terdahulu, Nanta dibawa melihat sendiri kerja penyelenggaraan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang dilaksanakan oleh Jambatan Kedua Sdn Bhd dalam lawatan kerja ke Pulau Pinang.