PUTRAJAYA, 29 Julai - Doa tidak seharusnya dijadikan alat politik yang boleh mencetuskan perpecahan dan ekstremisme, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau melahirkan rasa amat kesal terhadap tindakan seorang ahli politik yang didakwa menyalahgunakan doa dalam satu perhimpunan awam di Kuala Lumpur baru-baru ini sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Katanya, doa yang dibacakan secara terbuka itu bukan sahaja tidak selari dengan prinsip Islam, malah mengandungi unsur yang boleh memecahbelahkan hubungan sesama umat serta menimbulkan persepsi negatif terhadap kepimpinan negara.
"Doa merupakan senjata utama orang mukmin dan menjadi penghubung penting antara hamba dengan Allah SWT dari segi rohaniah.
"Ia perlu digunakan secara beradab, bukan dimanipulasi untuk kepentingan tertentu," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat Islam agar sentiasa berwaspada terhadap pihak-pihak yang menyalahgunakan doa untuk kepentingan peribadi atau kelompok tertentu.
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus komited memperkukuh kefahaman Islam berteraskan prinsip kesederhanaan, memperkasa syiar Islam serta membanteras fahaman ekstrem dan radikal yang mengancam perpaduan serta keharmonian negara.