fb fb fb fb fb

Lawatan mengejut pantau kecekapan perkhidmatan JPN

Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias (kiri) melakukan lawatan mengejut di Pejabat JPN Bentong, Pahang - Foto FB Badrul Hisham Alias

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Dalam usaha memperkukuh kualiti penyampaian perkhidmatan awam, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Badrul Hisham Alias bertindak mengadakan lawatan mengejut ke pejabat JPN di beberapa daerah terpilih.

Lawatan itu dilaksanakan tanpa sebarang pemakluman awal dan protokol, bertujuan menilai secara langsung tahap kecekapan operasi dan mutu perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat.

2907 NSL LAWATAN MENGEJUT KP JPN 2Badrul Hisham melihat sendiri tahap penyampaian perkhidmatan kepada rakyat oleh warga JPN - Foto FB Badrul Hisham Alias

"Sekali lagi saya ingin tegaskan, peliharalah integriti, amalkan budaya kerja yang cekap, dan pastikan komunikasi terus antara pegawai dan pelanggan. Ini bukan slogan, tapi ini tanggungjawab," katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut menzahirkan komitmen agar JPN terus memperkukuh peranannya sebagai sebuah agensi pembina negara yang menjadi teras kepada pembentukan identiti nasional, serta sebagai lambang kepercayaan dan harapan rakyat terhadap kerajaan.

2907 NSL LAWATAN MENGEJUT KP JPN 3Warga JPN diingatkan agar pelihara integriti, amalkan budaya kerja yang cekap dan memastikan komunikasi yang baik dengan pelanggan

Jelasnya, siri lawatan mengejut ini tidak terhenti setakat ini sahaja, malah akan diteruskan ke beberapa pejabat daerah lain bagi memastikan pemantauan berterusan dilakukan.

“Saya mahu lihat sendiri. Saya mahu dengar sendiri dan saya mahu kita semua berubah bukan kerana arahan, tetapi kerana amanah," katanya.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK