KLANG, 2 Mac-Masjid tidak wajar dijadikan medan bagi mencetuskan jurang berikutan perbezaan politik yang akhirnya menyebabkan persengketaan sesama umat Islam.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, masjid perlu dijadikan asas dan medium utama masyarakat Islam untuk bersepakat tanpa mengira perbezaan pangkat, kedudukan, pandangan dan fahaman politik masing-masing.
"Masjid tidak seharusnya menjadi tempat membina jurang pemisah atas dasar perbezaan fahaman politik dan dendam. Kuliah-kuliah agama yang dijalankan tidak sepatutnya dijadikan platform memfitnah dan mencaci mana-mana pihak", ujar baginda.
Justeru, baginda menegaskan supaya orang politik dilarang daripada menjadikan masjid sebagai pentas ceramah politik dan hanya membenarkan individu yang mempunyai tauliah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk memberi ceramah dan tazkirah.
Sultan Sharafuddin bertitah demikian dalam Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Nazir dan Imam Masjid-Masjid Negeri Selangor di Istana Alam Shah, hari ini.
Seramai 386 nazir dan 870 imam menerima watikah pelantikan tersebut.
(Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah/Foto RTM)