(Foto BERNAMA)
SEREMBAN, 20 September- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan diminta menambah baik kaedah pembelian beras putih tempatan (BPT) menerusi program Intervensi Pengedaran BPT bagi memastikan setiap masyarakat mendapatkannya.
Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata ia termasuk memperincikan dan mengehadkan jumlah pembelian kepada setiap individu atau keluarga bagi mengelakkan bekalan beras tidak mencukupi sehingga menimbulkan rungutan dalam kalangan mereka.
"Cumanya saya nak minta kerjasama masyarakat supaya tidak membuat pembelian panik.
"Tadi saya menerima berita bahawa terdapat satu keluarga membeli sampai enam beg 10 kilogram beras. Ini tidak adil kepada keluarga atau masyarakat lain," katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Exco di Seremban.
Beliau mengulas perkara itu berikutan video tular memaparkan orang ramai tidak berpuas hati apabila beras tempatan habis tanpa sempat membelinya ketika program jualan berkenaan dipercayai di Pusat Operasi FAMA Kuala Pilah.
(Foto BERNAMA)