KUALA LUMPUR, 20 September - Majlis Setiausaha-Setiausaha Politik Kerajaan Madani sebulat suara mendesak Ahli Parlimen Putrajaya, Dr Radzi Jidin digantung tugas atas keengganan beliau mematuhi arahan dikeluarkan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat sewaktu sesi penggulungan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMKe12) di Parlimen, di sini semalam
Pengerusi Majlis Setiausaha-Setiausaha Politik Kerajaan Madani, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, tindakan Radzi juga mesti dihukum atas kenyataannya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Oleh itu, Shamsul berkata, pihaknya akan meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said untuk memulakan usaha menggantung tugas Radzi sebagai pengajaran kepada semua Ahli Parlimen.
"Adalah amat menjengkelkan apabila seorang bekas Menteri Kanan gagal menghayati prinsip Rukun Negara, Kesopanan dan Kesusilaan. Tindakan biadap Dr Radzi Jidin yang ditunjukkan kepada seluruh negara tidak wajar dibiar begitu sahaja," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tegas mantan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat telah mengikut segala prosedur diperuntukkan dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat termasuk meminta Perdana Menteri menjelaskan apa dimaksudkan dengan “pentadbiran Putrajaya” yang merujuk kepada pentadbiran kerajaan terdahulu.
"Jelas, YB Putrajaya (Radzi) telah tersalah sangka kononnya “Putrajaya” yang dimaksudkan adalah diri beliau.
"YDP Dewan Rakyat seterusnya telah membuat keputusan menerima penjelasan YAB PM berdasarkan Peraturan 99 iaitu Petua-petua Tuan Yang di-Pertua.
"Sekiranya masih tidak berpuas hati YB Putrajaya boleh membuat usul namun arahan Speaker Dewan Rakyat telah tidak dihiraukan oleh beliau yang telah dikuasai emosi melampau hingga hilang sopan, hancur tatasusila dan mengganggu sesi penggulungan," jelasnya lagi.
Semalam, Radzi daripada Perikatan Nasional (PN) didakwa mengganggu sidang Dewan Rakyat selama 20 minit pada sesi penggulungan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Parlimen.
Radzi juga diarah keluar daripada Dewan apabila terus mempertikai keputusan Johari dan sidang dewan berakhir dengan anggota dewan yang terdiri daripada kalangan pembangkang bertindak meninggalkan dewan beramai-ramai.