(Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip)
JOHOR BAHRU, 20 September- Rakyat di Johor ini dinasihatkan supaya tidak membuat pembelian panik terhadap beras kerana bekalan itu mencukupi.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata ia berikutan kadar penggunaan beras di negeri itu hanya kira-kira 21,000 tan metrik sebulan berbanding bekalan sedia ada sebanyak 23,000 tan metrik.
"Saya nak betulkan sikit persepsi rakyat terutama di Johor. Untuk makluman, saya dapat data daripada agensi Kawal Selia Padi dan Beras juga data daripada Jabatan Pertanian bahawa penggunaan beras untuk negeri Johor setahun lebih kurang 316, 000 tan metrik setahun, justeru seharusnya tidak timbul kerisauan tentang bekalan itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jualan Agro Madani di Pasar Tani Kekal, Jalan Datin Halimah di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor Lilis Saslinda Pornomo dan Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Johor Mohd Alieff Sabeh.
(Pengunjung tidak melepaskan peluang membeli bekalan beras tempatan pada Program Jualan Agro Madani
di Pasar Tani Kekal, Jalan Datin Halimah, Larkin/ BERNAMA)
Zahari berkata, setakat ini, pihak berkuasa tidak menerima sebarang aduan berkaitan mana-mana pihak menyorok bekalan beras di negeri ini.
"Setakat ini tiada terima laporan sorok beras, tiada tangkapan, mungkin dalam TikTok ada tetapi dalam laporan rasmi kepada KPDN tiada. Saya alu-alukan kalau rakyat atau pembeli yang tahu ada berlaku kes sorok beras, laporkan kepada KPDN," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan Johor telah menerima bekalan tambahan 100 tan metrik beras daripada beberapa agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Pertubuhan Peladang untuk mengatasi kekurangan bekalan tersebut di negeri ini.