KANGAR, 20 September- Sebanyak 2, 824 pengguna kenderaan di Perlis telah memuat turun dan mendaftar melalui aplikasi MyJPJ sejak diperkenalkan Februari lalu.
Jumlah berkenaan dijangka akan terus meningkat berikutan pelbagai program promosi dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memberi pemahaman kepada pengguna mengenai sistem berkenaan.
Menurut Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri, Muhamad Nazri Hamzah, usaha pendigitalan berkaitan perkhidmatan disediakan JPJ ini bagi memudahkan orang ramai mengakses pelesenan kenderaan, pelesenan pemandu, semakan saman, status senarai hitam dan aduan awam.
Katanya, penambahbaikan sentiasa diberi perhatian terutamanya berkaitan keselamatan dan mesra pengguna aplikasi MyJPJ dimana pengguna tidak perlu risau menggunakan aplikasi berkenaan.
"Ini selaras dengan konsep pendigitalan JPJ yang telah diperkenalkan hari itu, Alhamdulillah masyarakat di sini telah pun banyak menggunakan aplikasi itu dan untuk sepanjang operasi ini kami tidak ada masalah dan harapan saya penguatkuasaan yang kami jalankan ini, hasrat kami adalah untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya. Harapan saya, semua pengguna jalan raya di Perlis ini sentiasa mematuhi semua undang-undang dan peraturan jalan raya," katanya.
(Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan Perlis, Muhamad Nazri Hamzah)
Beliau ditemui media ketika mengetuai Operasi Khas Motosikal di Jalan Kangar-Alor Setar bersama 20 pegawai dan anggota penguat kuasa JPJ Negeri, di sini.
Bagi tempoh Januari hingga hari ini, sebanyak 3,129 buah motosikal telah diperiksa dengan 900 buah daripadanya dikenakan tindakan saman terutamanya melibatkan lesen memandu, menggunakan lesen memandu palsu, tiada perlindungan insurans dan memandu di bawah umur.