(Fahmi ditemu bual selepas program Jom Baca Bersama 10 Minit di KKD)
PUTRAJAYA, 18 Mac- Kementerian Komunikasi dan Digital mengambil serius isu ulat tiket menjual semula tiket konsert kumpulan muzik antarabangsa, Coldplay pada harga yang melampau.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedi (MCMC) telah diarah mengambil tindakan berkaitan iklan jualan semula tiket itu di media sosial.
Beliau berkata terdapat unsur penipuan dan MCMC perlu memastikan hantaran tersebut diturunkan oleh pengendali platform berkenaan.
"Kita tidak boleh membenarkan aktivit-aktiviti jenayah seperti ini. Bagi saya ulat tiket itu satu aktviti tidak patut berlaku. Jadi kita akan teliti dan kita akan ambil tindakan," kata Fahmi selepas program Jom Baca Bersama 10 Minit di Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) disini.
Tambah beliau, pihaknya telah meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup agar membuat pemantauan mengenai perkara itu.
Orang ramai dinasihatkan agar membeli tiket konsert melalui sumber yang sah bagi mengelak penipuan dan menjadi mangsa ulat tiket.
(Fahmi ingatkan jangan beli tiket konsert daripada ulat tiket)