fb fb fb fb fb

Jaminan bekalan gas, elektrik dibincang dalam mesyuarat MTN

Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 2 April- Jaminan bekalan gas dalam konteks peralihan tenaga dan keterjaminan bekalan elektrik di Semenanjung antara perkara dibincang menerusi Mesyuarat Majlis Tenaga Negara (MTN) Bilangan 1 Tahun 2024, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempengerusikan majlis itu berkata MTN adalah majlis tertinggi terkait dengan penetapan hala tuju dan dasar strategik sektor tenaga negara.

"Saya tegaskan kepada ahli MTN kepentingan kerajaan memberi fokus kepada agenda peralihan tenaga yang direncanakan melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

"Ini termasuk mempercepat penyediaan rangka kawal selia Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS), mekanisme Akses Pihak Ketiga bagi sektor bekalan elektrik serta mekanisme pasaran tenaga boleh baharu (RE Exchange).

"Mesyuarat juga telah meneliti kemajuan projek dan inisiatif rintis perdana NETR.

"Sebanyak 10 projek rintis perdana telah bermula dan dipantau secara rasmi serta melibatkan pelaburan yang sedang dimuktamadkan berjumlah RM60.7 bilion," kata Anwar menerusi Facebook.

Tambah Perdana Menteri, sejajar dengan gagasan Ekonomi MADANI, pengurusan peralihan tenaga yang berkesan memerlukan pendekatan keseluruhan negara.

Ia bagi memastikan kesepaduan perancangan dan pelaksanaan dasar dalam mengimbangi trilema tenaga iaitu jaminan bekalan tenaga, akses kepada bekalan tenaga serta kelestarian alam sekitar.

Turut hadir pada mesyuarat itu termasuk Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM