fb fb fb fb fb

Jambatan sementara di Kampung Iboi, Kupang sudah boleh digunakan

BALING, 9 Julai - Jambatan sementara di Kampung Iboi, Kupang di sini siap dipasang pagi tadi sekali gus melegakan penduduk kampung menjelang sambutan Aidiladha esok.

Jambatan yang siap dipasang pada pukul 4.30 pagi itu sangat penting bagi kegunaan seharian penduduk dalam menjalani semula kehidupan akibat bencana banjir dan fenomena kepala air, Isnin lepas.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata jambatan itu menghubungkan Kampung Iboi dan Kampung Masjid Iboi.

Dengan siapnya jambatan bailey itu, ia akan memudahkan pergerakan dan aktiviti kira-kira 2,000 penduduk dari kampung sekitar sempena Hari Raya Korban,antaranya ke Masjid, ke Klinik Desa Iboi dan Pejabat Kesihatan Daerah Baling.

(Jambatan sementara di Kampung Iboi, Kupang siap untuk digunakan)

Jambatan itu dibina dengan kekuatan seramai 30 warga Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah dan JKR Ibu Pejabat Kuala Lumpur, yang berpadu tenaga dengan 10 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen (RAJD 2 Div).

Kerja-kerja pemasangan jambatan keluli modular ‘Old Bailey Bridge’ sepanjang 27 meter dan lebar 18 meter itu telah berjaya disiapkan dalam tempoh 36 jam.

Jambatan sementara itu dibina bagi menggantikan jambatan konkrit asal yang runtuh dan dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir dan fenomena kepala air itu.

Media Baharu