Jambatan gantung runtuh, 58 keluarga terjejas

Penduduk meninjau keadaan jambatan gantung di Kampung Krusen Siu, Tebakang yang runtuh akibat banjir.

SERIAN, 11 Januari – Sebuah jambatan gantung di Kampung Krusen Siu, Tebakang, yang telah digunakan hampir 50 tahun runtuh, sekali gus menjejaskan pergerakan 58 keluarga yang bergantung kepada laluan tersebut untuk motosikal dan pejalan kaki.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jambatan gantung hampir 50 tahun di Kampung Krusen Siu runtuh setelah banjir menyebabkan hakisan tebing sungai.
  • Runtuhan menjejaskan pergerakan 58 keluarga yang bergantung kepada laluan untuk motosikal dan pejalan kaki.
  • Tiang jambatan didapati dibina terlalu hampir dengan tebing, menjadikan struktur tidak selamat untuk digunakan.
  • Penduduk kini terpaksa guna laluan alternatif sejauh kira-kira lima kilometer dan memohon tindakan segera.

Ketua Kampung Krusen Siu, Alponsus Johem berkata, kejadian itu berlaku selepas air banjir surut dan dipercayai berpunca daripada hakisan tanah kerana tiang jambatan dibina terlalu hampir dengan tebing sungai.

Menurut beliau, keadaan jambatan kini tidak selamat untuk digunakan dan penduduk terpaksa menggunakan laluan alternatif melalui jalan belakang sejauh kira-kira lima kilometer dari persimpangan kampung.

“Penduduk berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera supaya jambatan ini dapat digunakan semula dengan selamat dan memudahkan akses keluar masuk kampung,” katanya kepada kru RTM ketika tinjauan banjir di sekitar Serian.

Kejadian runtuhan jambatan gantung itu dilaporkan berlaku sekitar pukul 9 malam Sabtu.